Don't miss this exciting journey of faith.
Bringing together all the brothers onto the same faith.
life of a servant
Tajdid Iman: Keimanan rapuh punca hati resah
Bersama Dr Juanda Jaya
Manusia perlu elak dikuasai nafsu
PUNCA-PUNCA kesedihan - jika ada satu alat yang sesuai
untuk mengukur kekuatan iman, tentulah alat itu adalah
'hati'. Allah SWT menjadikan hati itu hidup dan
berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan
manusia. Seseorang yang suka menyentuh hatinya dan
merawat dengan baik akan semakin mengenali dirinya
sendiri.
Jika gelisah, sedih dan putus asa menguasai diri, dia
akan bertanya kepada hati apakah sebabnya? Kemudian
ilmu diperlukan untuk menjawab soalan, akal diguna
sambil hati memandu cuba merungkai penyebab kesedihan
itu. Akhirnya ditemukan jawapan punca kesedihan,
kemurungan, gelisah dan tekanan pada diri manusia
iaitu;
Suka membuang masa. Hiburan dan permainan boleh
merehatkan hati dan menjadikannya lebih bertenaga,
tetapi apabila terlalu berlebihan ia boleh membunuh.
Orang mukmin membahagikan masanya kepada tiga
bahagian, iaitu;
Pertama untuk Allah SWT; kedua untuk dirinya sendiri
yang meliputi fikiran, perasaan dan tubuh badannya dan
ketiga untuk keluarga dan umatnya. Sikap membuang masa
biasanya dipengaruhi oleh persekitaran. Manusia akan
mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar
daripada pergaulan. Berkawan rapat dengan orang yang
suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada
buku, begitu juga bila suka iktikaf di masjid
mendengarkan syarahan agama akan menjadikan kita dekat
dengan ilmu.
Kita sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam
hidup ini, jalan baik atau yang buruk. Kawan yang
jahil atau soleh, situasi mengingatkan kita pada Allah
atau melupakannya. Membuang masa menyebabkan kemalasan
yang berakhir dengan kegagalan, sedih dan tertekan.
Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa berada
dalam situasi jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi
masanya dengan perjuangan dan pengorbanan untuk
memenangi pertarungan melawan iblis dan syaitan.
Kesedihan juga berpunca daripada sifat dengki dan
mengikut nafsu. Ada orang berasa sedih menyaksikan
orang lain yang mengatasi kehebatannya. Lebih berjaya,
kaya, berpangkat, cantik dan bergaya. Risau dan
tertekan bersarang di hati, ditambah dengan sifat
dengki dan dendam yang pasti akan memalapkan cahaya
iman.
Ubat bagi kesedihan sebegini adalah dengan melihat
siapa yang berada di bawah anda. Bukankah ramai
manusia yang tiada apa-apa untuk dimakan pada hari
ini? Rumah mereka musnah oleh banjir dan badai, anak
dan isteri mereka mati di hadapan mata kerana tembusan
peluru, kehancuran bangsa dan negara oleh kekejaman
perang. Mengapa perlu bersedih jika kita masih
memiliki orang yang tersayang, mengapa risau jika
harta kita dilindungi Allah SWT, jika ia berkurangan
bukankah selama ini Allah memberi jumlah yang banyak
tak terhitung? Semenjak dari rahim ibu lagi rezeki
sudah dikurniakan kepada kita. Sudikah kita jika
seseorang mahu menukar kedua mata, kaki dan tangan
kita dengan wang berjuta? Tentu ia lebih berharga
daripada wang. Kenikmatan yang Allah kurniakan itu
terlalu banyak, tetapi hanya sedikit manusia yang mahu
bersyukur.
Kesedihan kerana melupakan Allah. Bagaimanakah keadaan
orang yang melupakan Allah? Dalam surah Al-Hasyr ayat
19 Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan janganlah
kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah.
Lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka.
Mereka itulah orang-orang yang fasiq.”
Makna melupakan diri mereka sendiri adalah mereka
meninggalkan amal soleh yang boleh menyelamatkan diri
mereka di dunia dan akhirat. Orang yang melupakan
Allah SWT mempunyai ciri-ciri seperti berikut;
Hari dilalui tanpa ibadat, lupa berzikir, mengabaikan
sembahyang, tidak membaca ayat al-Quran, menjauhi ilmu
dan meninggalkan amal soleh. Kehidupan dunia
menjadikan mereka buta, tidak dapat menjejaki jalan ke
akhirat. Keadaan mereka seperti binatang kerana mereka
hidup semata-mata untuk makan, minum, tidur, berkahwin
dan memuaskan nafsu saja.
Ini sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan
sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam
kebanyakan jin dan manusia, mereka memiliki hati tapi
tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, dan
mereka memiliki mata tetapi tidak dipergunakan untuk
melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka
memiliki telinga tetapi tidak dipergunakan untuk
mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu seperti binatang
ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah
orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A'raf: 179).
Benarkah orang yang kaya tidak berasa sedih, putus asa
dan tertekan? Sebenarnya, ia bergantung kepada sumber
hartanya dan untuk apa ia dibelanjakan. Kekayaan yang
sebenar adalah kaya hati. Iaitu hati yang sentiasa
bergembira kerana iman kepada Allah dan bersyukur
serta reda dengan qada dan qadar-Nya.
INFO: Hati sebagai alat kawalan manusia
Allah SWT menjadikan hati itu hidup dan berfungsi
sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia.
Orang yang merawat hatinya dengan pelbagai amalan
dituntut syariah pasti akan mengenali diri.
Hiburan berlebihan, sifat dengki, mengikut nafsu dan
lupa kepada kebesaran Allah SWT penyebab kepada
‘kesedihan’ hati.
Mukmin yang hatinya sentiasa menekankan tuntutan
syariah akan membahagikan masa untuk Allah SWT, diri
sendiri dan untuk keluarga serta umat