22 Tahun Yang Lalu



Alhamdulillah dan syukur atas nikmat usia yang dipinjamkan oleh-Nya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dia yang telah meminjamkan jasad ini, udara yang dihirup, rezeki yang melimpah ruah dan segalanya. Sesungguhnya diri ini masih belum mampu membalas walau sesedutan udara untuk meneruskan kehidupan ini. Sesungguhnya tidak akan pernah cukup untuk membalas segalanya. Dan Dia tidak meminta dibalas melainkan dengan mengabdikan diri kepada-Nya.

22 tahun telah berlalu dalam kehidupan diri ini. Terasa sungguh sekejap. Dulu rasa macam lama sangat nak membesar. Tapi sekarang nie rasa macam semalam baru lahir. Hari nie dah 'membesar' jadi orang umur 22 tahun. Tetapi sepanjang 22 tahun yang telah berlalu, rasanya diri ini masih lagi belum cukup amalan buat bekalan. Dan rasanya macam masih belum pun bersedia untuk beramal. Apa yang dipelajari kat TASKI, sekolah rendah, sekolah menengah, kat universiti masih belum mampu menyediakan diri ini untuk menghadapi dunia luar yang lebih mencabar. Masih belum lagi bersedia untuk menjadi pemimpin diri apatah lagi memimpin rakan-rakan dan keluarga.

22 tahun yang lalu, di tengahari Jumaat seorang bayi lelaki telah dilahirkan di sebuah bilik di Hospital Bersalin Kuala Lumpur (hari merupakan sebahagian daripada Hospital Besar Kuala Lumpur). Hasil perkongsian hidup Ibrahim Malek dan Siti Jumiah Senawi maka lahirlah seorang bayi. Diberi nama Khairul Anwar Ibrahim. Bila kenang kembali 22 tahun yang lalu, rasanya kalau saiz macam hari nie camnie ek mama nak bawa? Hehehehehe itulah kebesaran ciptaan Allah. Jasa ibu membawa, melahirkan, dan membesarkan tidak akan terbalas selamanya. Biar jutaan, billion ringgit atau apa sahaja jumlah yang diberikan tetap tidak akan menyamai keperitan membesarkan diri ini.

Masih lagi diri ini teringat suatu ketika diri ini dijangkiti demam panas, ibu berjaga malam demi memastikan diri ini dalam keadaan selesa. Terjaga ditengah malam melihat ibu sedang mengelap badan yang kepanasan. Juga masih teringat bagaimana ibu menghantar ke sekolah saban hari demi memastikan diri ini menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara. Masih juga teringat bagaiman kasih yang dicurahkan oleh abah. Mencari rezeki demi membesarkan diri ini menjadi orang berguna. Terasa bagai semalam segalanya bermula. Teringat juga kepada Nyai yang telah kembali kepada-Nya. Sewaktu kecil manja di atas pangkuannya. Terasa bagai semalam baru duduk di atas pangkuannya mengacau membuat lepat dan ketupat sambil menikmati sup ayam kampung kegemaran diri ini. Kini Nyai tiada lagi. Teringat pula Tok yang sibuk di dapur sambil membuai laju diri ini sampai ke cucur atap. Masakan tidak, jikalau tidak sampai ke cucur atap nesecaya diri ini tidak akan tidur. Kini Tok sudah tidak mampu lagi untuk berbicara akibat daripada CVA yang dialaminya. Terasa bagai semalam semua itu berlaku. Tapi hari ini sudah 22 tahun berjalan di atas muka bumi ini.

22 telah berlalu, apakah diri ini telah menjadi hamba yang taat? Anak yang soleh? Abang yang melindungi adik-adiknya? Atau rakan yang membantu rakan-rakan lain? Entahlah. Rasa macam masih belum cukup lagi semua itu. Masih belum bersedia untuk dunia sebenar. Tetapi itulah hakikat kehidupan, bersedia atau tidak kita harus merasainya. Terima kasih kepada rakan-rakan yang selama ini memberikan sokongan dan dorongan. Terutama ketika di dalam kesusahan. Insyallah tidak akan diri ini melupakannya. Terima kasih abah dan mama atas segala perngorbanan yang telah dilakukan. Dalam susah dan senang. Terima kasih Nyai, Yaie, Aki dan Tok yang telah mengajar segalanya. Terima kasih kepada semua.

Doakanlah diri ini menjadi hamba yang taat, anak yang soleh dan sahabat yang sentiasa boleh dipercayai. Jikalau diri ini pernah melakukan sesuatu yang melukakan maafkanlah. Sesungguhnya diri ini lemah. Dan kejutkanlah diri ini andai diri ini terlena dibuai mimpi. Semoga kita semua mencapai keredhaan-Nya. Hanya itulah yang diri ini harapkan.

Sanah helwah juga diucapkan kepada rakan-rakan yang berkongsi tarikh lahir yang sama:
Farah Aniza ( SMAP-Australia)
Noorzayyani (MEP 4-Jordan)
Mohd Ariff (MEP-6 Jordan)
Fadhil Umar (IKIP-Jordan)

Terima kasih kepada baez dan kak nad atas entry. Hehehehe.... (tp asal letak gambar pkai PJ ek? asal x letak gambar encem2 skit? hehehehe)

0 comments:

 
Copyright © CHRONICLEofanwar