0

Perjalanan Hidup


Assalammualaikum....

Alhamdulillah dah habis exam pada hari Isnin yang lalu. Walaupun agak mencabar, rasanya insyaAllah akan lulus. Semoga lulus dengan cemerlang insyaAllah.

Dah lama juga kot rasanya tidak menulis di dalam blog nie. Walaupun tidak berhabuk tapi cukuplah rasanya melihat tarikh post yang terakhir.

Macam-macam benda yang berlaku dalam beberapa minggu ini. Tetapi rasanya biarlah ianya menjadi rahsia untuk diri ini sendiri. Paper pun alhamdulillah masih diberikan nikmat iman dan islam dalam diri ini. Di dalam dunia yang penuh dengan nilai 'materi' ini kita seharusnya lari dari main stream dan pergi mencari ilmu agama untuk kebaikkan kita dan generasi seterusnya. Rasanya perkara ini yang mungkin tidak akan saya dapat jikalau belajar di negara sendiri. Kerana di tempat kita semuanya telah disediakan. Hidup kita menjadi terlalu bergantung kepada orang lain. Tapi lain pula bila merantau di tempat orang. Serba-serbi kita harus lakukan sendiri. Dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada berurusan dengan pihak kerajaan. Rasanya itulah yang membezakan pelajar yang belajar di luar. Bukan dari segi ilmunya, tapi pengalaman hidup yang insyaAllah boleh membantu hidup.

Suka untuk saya bercerita mengapa saya tidak suka menggunakan perkataan 'susah' jikalau orang bertanya tentang pelajaran. Kenapa? Apabila kita menggunakan 'susah', mind setting kita akan mengatakan bahawa benda itu susah dan kita tidak mungkin boleh melaksanakannya. Saya lebih suka menggunakan perkataan 'mencabar'. Perkataaan ini akan membangkitkan semangat juang dalam diri untuk berjaya. Ini semua adalah psikologi. Seharusnya kita sebagai ummat Islam tidak harus mudah menyerah kalah. Tidak sekali. Kita telah berjaya lahir ke dunia. Seharusnya jikalau kita hendak pergi ke SANA pun dalam keadaan yang berjaya. Berjaya dalam segala-galanya.

Berat? Tidak bagi mereka yang bersikap optimistik. Sentiasa positif walaupun dalam keadaan yang sukar. Sentiasa sabar dan redha dengan ketentuannya. Redha dengan Allah insyaAllah DIA akan sentiasa redha dengan kita. Dan berakhir dengan kebaikkan.

Memang dalam berjalan di Jalan Ini akan dipenuhi dengan onak, duri dan ranjaunya. Memang kita akan sentiasa diuji. Ujiannya bukanlah seperti yang kita rasai selama ini. Ujiannya lebih berat daripada itu. Tapi rasanya tidaklah seperti apa yang dirasai oleh para sahabat dahulu untuk menegakkan kalimah syahadah. Apa yang penting adalah asas kita yang kukuh akan membantu kita walau di mana sahaja berada dalam apa jua situasi. Dan yang paling penting adalah redha-Nya.

Semoga kita semua hidup di dalam perjuangan di jalan-Nya dan moga mati sebagai syuhada' di jalan-Nya. Masih belum terlewat untuk membetulkan niat untuk mencari keredhaan-Nya. Kerana setiap apa yang kita lakukan di atas muka bumi ini semuanya adalah kerana-Nya. Di situlah kejayaan buat kita semua. Semoga kita berjaya.

Tidak sampai 2 jam lagi akan bertolak menuju ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah. Rasanya ingin saya mengambil peluang ini untuk memohon maaf kepada sesiapa yang ada pernah saya terkasar bahasa atau perbuatan. Harap maafkan. Jikalau sesiapa yang ada saya berhutang, mintalah sebelum bertolak. Kerana kita tidak tahu bagaimana, di mana, bersama siapa hidup kita akan berakhir. Semoga kita semua mendapat khusnul khotimah insyaAllah. Doakan saya selamat pergi dan kembali. InsyaAllah jikalau kita diberi peluang akan bertemu lagi nanti.

Moga Dosa Terampun

Wassalam.
 
Copyright © CHRONICLEofanwar